Tuesday 21 December 2010

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya..

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Tugas sebagai ibubapa adalah memberi pendidikan yang sebaiknya kepada anak-anaknya. Bukan cukup sekadar makan pakai sahaja tapi yang lebih utama adalah memberi ilmu secukupnya supaya bila anak-anak besar nanti mampu membawa diri sendiri mengikut jalan yang betul InsyaAllah.


Sedari kecil ibubapa perlulah membeli pakaian yang sopan kepada anak-anaknya supaya budaya kesopanan dibiasakan dari kecil lagi, supaya bila anak-anak sudah besar mereka boleh menghargai rasa malu diri untuk melakukan hal-hal yang tidak sopan. Dengan ini dapat mengelak anak-anak dari terjerumus ke lembah maksiat.

Sebenarnya pendidikan awal kepada anak-anak boleh bermula dari semudah mengajar wuduk dan perkara-perkara yang membatalkan wuduk. Antara perkara yang membatalkan wuduk adalah apabila berlaku persentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Jika dibiasakan dari kecil anak-anak ini menjaga wuduk dan sentiasa dalam keadaan suci dari hadas kecil, yakni sentiasa berwuduk, maka tidak akan timbul isu cuba untuk berlakunya persentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Dengan sendirinya anak-anak ini boleh mengelak dari terjerumus kepada perkara-perkara yang lebih teruk dari itu seperti zina dan mengandung anak luar nikah.

Maka marilah kita sama-sama mendidik dan menjaga anak-anak kita kerana ini adalah tanggungjawab ibubapa dan setiap tanggungjawab itu akan disoal jika kita lalai melaksanakannya.
Bila ilmu yang sudah cukup mantap kita berikan kepada anak-anak, InsyaAllah anak-anak akan berjaya hidup menjadi insan yang berguna kepada keluarga, agama dan masyarakat. Dengan ini dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.

Sama-sama kita berusaha!!!
Kemudian barulah bertawakkal kepadaNYA...mudah-mudahan Dia akan melindungi dan merahmati kita semua.