Thursday 28 October 2010

Kata-kata Itu Suatu Doa

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Aku sangat percaya bahawa apa yang kita ucapkan itu adalah suatu doa atau secara tidak langsung merupakan suatu permintaan kepada Allah subhanahuwata'ala. Oleh itu aku seboleh mungkin cuba menjaga apa yang aku ucapkan.

Sebelum kita mengucapkan sesuatu dalam bentuk kata-kata yang diluahkan melalui mulut, kita biasanya akan berfikir dahulu. Oleh itu untuk membiasakan diri kita supaya dapat mengucapkan kata-kata yang indah, kata-kata yang baik dan sedap didengar, maka kita perlu membiasakan diri kita dengan berfikir perkara-perkara yang indah dan baik-baik belaka.

Sebagai memberi semangat untuk diri sendiri dan untuk orang lain juga, maka biasakanlah mengucapkan kata-kata yang positif. Lagi pun sebenarnya fikiran kita ini tidak boleh menerima pernyataan yang negatif. Aku cuba berikan dalam bentuk contoh supaya lebih mudah difahami. Dua bentuk pernyataan yang satunya positif dan satu lagi adalah negatif.

1. Bayangkan anda memakai baju HIJAU.
2. JANGAN fikir yang anda sedang memakai baju MERAH.

Apakah warna yang secara spontan otak anda fikirkan bila membaca kedua-dua ayat di atas? Hah sudah tentu bila membaca ayat pertama otak anda akan berfikir warna HIJAU kan!! Begitu juga bila anda membaca ayat kedua, mesti secara spontan otak anda memikirkan warna MERAH!!! Otak kita secara otomatik mengabaikan perkataan JANGAN yang berada di permulaan ayat tersebut kan?!
Itu lah yang dimaksudkan dengan "otak kita tidak dapat memproses pernyataan yang negatif".

Oleh itu jika kita ingin berjaya, elakkan dari sebut perkataan "tidak gagal" sebaliknya sebutlah perkataan "lulus" walaupun kedua-dua perkataan tersebut mempunyai maksud yang sama tapi amat besar impaknya kepada otak dan diri kita. Jadi sentiasa sebut yang positif.

Keadaan di atas walaupun nampak kedua-duanya ("tidak gagal" dan "lulus") positif namun proses pencernaan oleh minda kita jauh berbeza. Apatah lagi jika kita secara terang-terangan mengucapkan kata-kata yang negatif setiap masa, seperti ayat "kau memang akan gagal". Ayat-ayat negatif yang berterusan akan makin memusnahkan diri kita dan juga orang lain di sekeliling. Oleh itu jika kita sayangkan diri sendiri dan juga saudara kita, maka sentiasalah mengucapkan perkataan yang positif dan baik-baik sahaja.

Biasanya perkataan yang baik lebih mudah kita lafazkan bila mana keadaaan diri adalah tenang. Namun kita tetap manusia biasa. Ada pasang surut emosi. Oleh itu jika dalam keadaan emosi kita yang tidak stabil lebih baik kita mendiamkan diri daripada kita terus bercakap dan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.

Sebagai akhirnya, aku tinggalkan karya ini dengan pesanan dari Rasululullah s.a.w.

Dari Abu Hurairoh rodhiallohu ‘anhu, sesungguhnya Rosululloh sholallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Alloh dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam. Dan barang siapa yang beriman kepada Alloh dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangganya. Dan barang siapa yang beriman kepada Alloh dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan tamunya.” (HR. Bukhori dan Muslim).

Wednesday 27 October 2010

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Aku mulakan karya pertama ku dengan video "Bismillah" kerana sangat penting apa-apa saja pekerjaan yang kita hendak buat perlulah dimulakan dengan ucapan بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Dalam semua keadaan kita hendaklah sentiasa berharap hanya kepada Allah. Hanya Dia tempat kita bergantung. Oleh itu aku juga letakkah video "cukup bagiku" ini dalam karya aku yang pertama ini.


Moga Allah terus membantu perjalanan hidup ku...sehingga aku pergi menemui NYA nanti...InsyaALLAH :)