Tuesday 21 December 2010

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya..

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Tugas sebagai ibubapa adalah memberi pendidikan yang sebaiknya kepada anak-anaknya. Bukan cukup sekadar makan pakai sahaja tapi yang lebih utama adalah memberi ilmu secukupnya supaya bila anak-anak besar nanti mampu membawa diri sendiri mengikut jalan yang betul InsyaAllah.


Sedari kecil ibubapa perlulah membeli pakaian yang sopan kepada anak-anaknya supaya budaya kesopanan dibiasakan dari kecil lagi, supaya bila anak-anak sudah besar mereka boleh menghargai rasa malu diri untuk melakukan hal-hal yang tidak sopan. Dengan ini dapat mengelak anak-anak dari terjerumus ke lembah maksiat.

Sebenarnya pendidikan awal kepada anak-anak boleh bermula dari semudah mengajar wuduk dan perkara-perkara yang membatalkan wuduk. Antara perkara yang membatalkan wuduk adalah apabila berlaku persentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Jika dibiasakan dari kecil anak-anak ini menjaga wuduk dan sentiasa dalam keadaan suci dari hadas kecil, yakni sentiasa berwuduk, maka tidak akan timbul isu cuba untuk berlakunya persentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Dengan sendirinya anak-anak ini boleh mengelak dari terjerumus kepada perkara-perkara yang lebih teruk dari itu seperti zina dan mengandung anak luar nikah.

Maka marilah kita sama-sama mendidik dan menjaga anak-anak kita kerana ini adalah tanggungjawab ibubapa dan setiap tanggungjawab itu akan disoal jika kita lalai melaksanakannya.
Bila ilmu yang sudah cukup mantap kita berikan kepada anak-anak, InsyaAllah anak-anak akan berjaya hidup menjadi insan yang berguna kepada keluarga, agama dan masyarakat. Dengan ini dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.

Sama-sama kita berusaha!!!
Kemudian barulah bertawakkal kepadaNYA...mudah-mudahan Dia akan melindungi dan merahmati kita semua.

Sunday 28 November 2010

Takutnya AKU...

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
AKU takut...takutnya AKU....Takut kepada macam2 benda...membuatkan diri aku gelisah...tidak tenang...adakah kerana diri aku sendiri yang banyak dosa atau sememangnya aku sewajarnya takut dan gelisah...Takut dan gelisah bila memikirkan:

  • Ramainya perempuan yang tidak menutup aurat dengan sempurna.
  • Berleluasanya pergaulan bebas antara jantina yang berbeza.
  • Suami/isteri yang curang.
  • Ibubapa yang membiarkan anak2nya bebas.
  • Hiburan yang semakin menguasai dunia sehingga terlupa segalanya.
  • Manusia hanya inginkan keseronokan tanpa batas.
  • Masalah sosial yang semakin meningkat.
  • Remaja semakin rosak akhlak.
  • Macam2 lagi....
Aduh!! Kepala ku sakit memikirkan macam2 hal ni. Diriku sebahagian dari semua ini. Aku sangat lemah....lemah yang teramat2....Hanya Mu ya Allah yang boleh membantu semua ini. Berikan kekuatan kepada kami semua untuk mengikut perintah Mu...menjauhi larangan Mu...Selamatkan kami semua dari murka Mu ya Allah...Bantulah kami....



Thursday 28 October 2010

Kata-kata Itu Suatu Doa

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Aku sangat percaya bahawa apa yang kita ucapkan itu adalah suatu doa atau secara tidak langsung merupakan suatu permintaan kepada Allah subhanahuwata'ala. Oleh itu aku seboleh mungkin cuba menjaga apa yang aku ucapkan.

Sebelum kita mengucapkan sesuatu dalam bentuk kata-kata yang diluahkan melalui mulut, kita biasanya akan berfikir dahulu. Oleh itu untuk membiasakan diri kita supaya dapat mengucapkan kata-kata yang indah, kata-kata yang baik dan sedap didengar, maka kita perlu membiasakan diri kita dengan berfikir perkara-perkara yang indah dan baik-baik belaka.

Sebagai memberi semangat untuk diri sendiri dan untuk orang lain juga, maka biasakanlah mengucapkan kata-kata yang positif. Lagi pun sebenarnya fikiran kita ini tidak boleh menerima pernyataan yang negatif. Aku cuba berikan dalam bentuk contoh supaya lebih mudah difahami. Dua bentuk pernyataan yang satunya positif dan satu lagi adalah negatif.

1. Bayangkan anda memakai baju HIJAU.
2. JANGAN fikir yang anda sedang memakai baju MERAH.

Apakah warna yang secara spontan otak anda fikirkan bila membaca kedua-dua ayat di atas? Hah sudah tentu bila membaca ayat pertama otak anda akan berfikir warna HIJAU kan!! Begitu juga bila anda membaca ayat kedua, mesti secara spontan otak anda memikirkan warna MERAH!!! Otak kita secara otomatik mengabaikan perkataan JANGAN yang berada di permulaan ayat tersebut kan?!
Itu lah yang dimaksudkan dengan "otak kita tidak dapat memproses pernyataan yang negatif".

Oleh itu jika kita ingin berjaya, elakkan dari sebut perkataan "tidak gagal" sebaliknya sebutlah perkataan "lulus" walaupun kedua-dua perkataan tersebut mempunyai maksud yang sama tapi amat besar impaknya kepada otak dan diri kita. Jadi sentiasa sebut yang positif.

Keadaan di atas walaupun nampak kedua-duanya ("tidak gagal" dan "lulus") positif namun proses pencernaan oleh minda kita jauh berbeza. Apatah lagi jika kita secara terang-terangan mengucapkan kata-kata yang negatif setiap masa, seperti ayat "kau memang akan gagal". Ayat-ayat negatif yang berterusan akan makin memusnahkan diri kita dan juga orang lain di sekeliling. Oleh itu jika kita sayangkan diri sendiri dan juga saudara kita, maka sentiasalah mengucapkan perkataan yang positif dan baik-baik sahaja.

Biasanya perkataan yang baik lebih mudah kita lafazkan bila mana keadaaan diri adalah tenang. Namun kita tetap manusia biasa. Ada pasang surut emosi. Oleh itu jika dalam keadaan emosi kita yang tidak stabil lebih baik kita mendiamkan diri daripada kita terus bercakap dan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.

Sebagai akhirnya, aku tinggalkan karya ini dengan pesanan dari Rasululullah s.a.w.

Dari Abu Hurairoh rodhiallohu ‘anhu, sesungguhnya Rosululloh sholallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Alloh dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam. Dan barang siapa yang beriman kepada Alloh dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangganya. Dan barang siapa yang beriman kepada Alloh dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan tamunya.” (HR. Bukhori dan Muslim).